May Peace Be Upon You, With God's Grace And Mercy.
Saya amat tertarik dengan cara pemacuan seorang Kapten, yang mana telah memacu kenderaan yang saya naiki berberapa hari yang lalu. Apakah kenderaan yang dipacu Sang Kapten tersebut? Hahaha, ia bukanlah jet pejuang yang gagah mempertahankan ruang udara, bukanlah juga ia sebuah pesawat selam yang meneroka ke dasar laut Malaya, dan ia bukan juga merupakan kenderaan perang yang gagah membedil musuh. Namun, fungsinya tak kurang penting. Ia adalah nadi pengangkutan awam tempatan yang saban hari menjadi tumpangan ramai warga kota Pulau Pinang ini.
Ya, saya sedang bercakap mengenai Kapten Pemacu Pengangkutan Awam Perdana Semasa. Malaslah nak sebut namanya.
Kebetulan, waktu tengah hari itu, saya turut menumpangi kenderaan yang dipandunya, buat kali kedua (rasanyalah) saya menaiki kenderaan yang dipandu oleh Kapten tersebut. (Waduh, pengenalannya panjang sekali. Bosan membacanya). Lagaknya memandu di jalan-jalan Pulau Mutiara ini boleh saya sifatkan sebagai agak.. urm... "angkuh".
Bagaimana?
Hehehe.. Beliau kerap membunyikan hon kenderaannya. Akibat kehairanan, saya pun memerhatikan beliau. Saya dapati bahawa beliau akan selalu membunyikan hon kenderaannya jika ada kenderaan lain (kecil, sederhana mahupun mewah) yang berada di hadapannya. Seolah-olah mereka itu sedang mengganggu perjalannya. Sang Kapten ini amat kerap sekali membunyikan hon. Walaupun kenderaan di hadapannya itu tidak berapa mengganggu jalan beliau, sehingga saya merasakan tidak munahsabah bagi beliau membunyikan hon kenderaannya. Satu perjalanan sepanjang lebih kurang 3 kilometer, beliau telah pun menge'hon' 7 kenderaan berbeza: 5 buah motosikal, dan 2 buah motokar. Saya semakin hairan dan terus memerhatikan gelagat Sang Kapten ini.
Sesampainya kami di sebuah simpang berlampu isyarat, Kapten ini memberhentikan kenderaannya. Sebaik sahaja lampu isyarat bertukar menjadi hijau, beliau pantas membunyikan hon lagi. Jika saya yang berada di hadapan kenderaan beliau, pada saat tersebut, rasa-rasanya saya baru sempat hendak menurunkan brek tangan saya. Huh! Sakan sungguh beliau menge'hon'!
Akhirnya saya selamat sampai ke destinasi. Namun, pada malam itu, saya telah menumpang kenderaan yang sama dan dipandu Sang Kapten yang sama. Perjalanan kali ini lebih banyak lampu isyarat, dan jalan pula lebih lengang waktu-waktu begini. Getus hati saya: lebih banyak aksi hon-menge'hon'. Sangkaan saya merosot. Beliau tidak membunyikan hon pada waktu malam. Sebaliknya, beliau menggantikan perbuatan tersebut dengan menyalakan lampu tinggi..
Maka, misi saya adalah mengira kekerapan beliau menyalakan lampu sepanjang perjalanan 7 kilometer ini..
Sampai sahaja dekat bonggol di hadapan Pusat Membeli Belah di tepi laut (Teluk Ratu), lampu pertama dinaikkan kepada kenderaan yang memperlahankan diri untuk menaiki bonggol tersebut. Sebuah lagi menerima cahaya berlebihan 30 meter kemudian, dekat lampu isyarat. Lebih kurang 30 meter selepas itu, sebuah kereta dilimpahi cahaya kerana lambat keluar dari simpang. Lebih kurang 600 meter selepas itu, ketika menuruni 'fly over', sebuah wira berwarna emas pula menjadi mangsa, kerana berhati-hati untuk menuruni jalan yang agak teruk keadaannya. Hampir sampai di bulatan, sebuah kenderaan kecil yang bertukar ke lorong yang betul disinari cahaya keimanan dari Sang Kapten ini. Sesudah berhenti, tatkala lampu isyarat menyinar berwarna hijau, sebuah SUV Porsche turut menerima limpah kurnia cahaya tinggi. ^.^
Dek kerana terlalu ramai yang di berikan kerdipan sinar di waktu malam terang itu, saya sudah hilang perkiraan saya. Hahaha..
(Dah panjang sangat tulisan kali ni. kena pendekkan cerita sikit)
Kesimpulan dari pemerhatian saya: Wah, bongkaknya Sang Kapten ni. Jika ada ramai sepertinya, nescaya jalan-jalan di Pulau Mutiara akan penuh dengan kerdipan-kerdipan pada waktu malam, dan bunyi-bunyian di waktu siang. Pantang ada yang dekat dengan beliau, terus diberikan amaran. Hahahaha.
Harapan saya: semoga semua pemandu dia Negara Tercinta ini bersabar, bersopan dan bertoleransi semasa meluncuri liku-liku perjalanan dalam menuju ke destinasi. Tak salah memperlahankan kenderaan anda dan memberikan laluan kepada rakan-rakan warga senegara dengan kita.
Tips: Senyum dan teruskan memandu.
Mesej kepada Sang Kapten: Tak payah lah abang jadi Kapten.
Pesanan kepada penumpang dan pemandu kenderaan lain: Jangan dicontohi Sang Kapten ini.
Peringatan kepada diri sendiri: Hati-hati di jalan raya-ingatlah orang tersayang.
-Tamat-
No comments:
Post a Comment