Friday, October 14, 2011

Hiburan Melampau

Salam sejahtera semua. Saya doakan anda semua berada dalam rahmat dari Tuhan.

Keinginan kepada hiburan adalah fitrah manusia. Sememangnya manusia ini dijadikan dengan nafsu yang berkehendak kepada hiburan. Hiburan pula datang dalam berberapa bentuk. Ada yang terhibur dengan mendengar lagu, ada yang terhibur dengan mendengar alunan bacaan kitab suci, dan ada jugak yang terhibur dengan menonton filem dan drama di TV. Selain santapan deria tadi, ada juga yang berhibur dengan bersukan, main futsal bersama rakan-rakan, main bowling, berbasikal, dan tak kurang dengan permainan-permainan lasak lain. Terdapat jugak dari kalangan kita yang terhibur dengan seni; melihat, mengamati dan menghasilkan seni-seni seperti seni tampak, ukiran, lukisan, dan [paling faveret cheq punya] fotografi.

Hiburan ini fungsinya pula adalah untuk menghilangkan tekanan, selain itu hiburan juga dapat memberi ketenangan dalam hati, dengan syarat bahawa hiburan itu tidak melampaui batas. Mendengar bunyi-bunyian yang indah dapat memberikan kesenangan dan kesukaan dalam hati kita. Bunyi-bunyian yang disusun mengikut rentak diiring alunan irama mendayu-dayu mampu menerbitkan bermacam-macam perasaan daripada hati kita. Bermain permainan-permainan bersama rakan-rakan pula boleh menyebabkan kita berasa seronok dan puas. Seni yang halus pula yang diamati dengan mendalam dapat diungkap perasaan di sebalik gaya setiap ukiran, setiap garisan dan setiap penataan cahayanya.

Perghhh- skemanye~ macam budak sekolah menengah yang tulis.. well.. saye pun mude lagi.. huuhuhuhuhu..

Sebagai umat Islam yang berjaya [hehe], kita mempunyai kreteria-kreteria dalam memilih hiburan yang bersesuaian dengan fitrah manusia ini. Hukum asal hiburan ini adalah harus, namun jika tidak dijaga, dan dalam berberapa keadaan, hiburan ini boleh menjadi syubhah dan boleh terus jatuh haram. maka, hendaklah kita berwaspada dalam menikmati hiburan dalam dunia ini, takut pulak lah nanti, oleh kerana tenggelam dalam hiburan, kita boleh terjerumus dalam lembah dosa yang lebih berat, maka azab nerakalah jawabnye~~

A064
Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). (Al-'Ankabuut 29:64)


dan Allah berfirman lagi;
A006
Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan. (Luqman 31:6)



Di sini Allah dah pun berpesan, jangan memilih hiburan yang melalaikan. Allah tidak pula melarang untuk kita berhibur, cuma Allah larang kita memilih hiburan yang melalaikan.

[Awat yg entry ni insaf sangat nih!! aiyyo~~]

Saya rasa, kita semua pun tau, kriteria hiburan yang digalakkan adalah;

1. Tidak Melalaikan; yakni tidak membuatkan kita lupa akan tanggungjawab wajib seperti solat, dan lain-lain.
2. Tidak melibatkan perkara-perkara jelas haram.
3. Jika hiburan yang dinikmati beramai-ramai, hendaklah tidak bercampur antara laki-laki dan wanita yang bukan mahram, tidak melibatkan persentuhan dan pendedahan aurat antara kedua-duanya.
4. Tidaklah berhibur dengan terlibat dengan sukan-sukan ganas dan merbahya.
5. Tidak melibatkan sukan-sukan yang membazir dan melibatkan kemusnahan harta benda.
6. Tidak melibatkan perbuatan-perbuatan yang membangkitkan perasaan dan hawa nafsu syahwat.
8. Hiburan yang tidak menjatuhkan maruah dan mengaibkan seseorang atau sesiapa sahaja.
9. Tidak melibatkan unsur perjudian.
10. Tidak melibatkan unsur-unsur syirik, pemujaan kepada selain Allah dan mengagung-agungkan samada manusia, syaitan, objek-objek dunia, gaya hidup dan pemikiran-pemikiran yang salah dan sesat, dan perbuatan-perbuatan yang membinasakan.
11. Tidak melibatkan memakan dan/atau meminum barang-barang makanan dan minuman yang haram.
12. Tidak mengandungi perkara-perkara yang menyuruh dan menggalakkan perkara-perkara di atas.

A087


Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (Al-Maaidah 5:87)



Aduyai banyaknya!! terasa macam Imam Muda plak! siap ada petikan dari kitab suci lagi... hehehehe... saye bukan Imam Muda, walaupun saya memang muda.

Banyaknya benda yang tak boleh buat! habis tu, hiburan macam mana yang dibolehkan pulak??? Alaa~~ ada banyak la~~ cuma kena pandailah memilih~ Kalau nak dengar lagu, pilihla lagu yang baik-baik.. Maher Zain ada, sedap apa lagu-lagu dia.. Nak p karaoke pun boleh, takde masalah~ cumanya bagi muslimah-muslimah bakal penghuni syurga, nyanyi depan ahli keluarga sudahla~~ kan? [senangnya jadi lelaki.. nak karoke depan sapa-sapa pun takpa, hahahaha]. Nak berbowling? takde masalah, boleh pilih waktu yang tak mengganggu waktu solat, seperti selepas solat isya', [muslimah boleh boling sehari suntuk pada hari-hari ''tertentu'', kekeke]. Nak futsal pun boleh!! Lepas ni kita adakan Kejohanan Futsal Muslimah pulak. haaaa~~~ sape nak pioneer???

Hari ni saya bersolat Fardhu Jumaat di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Baharu Perda Bukit Mertajam. Khutbah dibacakan oleh Yang Berbahagia Ustaz Arif Alwi bin Suhaimi Arif [kalau tak silap lah ye]. Tajuk khutbah juga bertajuk ''Hiburan Melampau''. Al-fadhil ustaz khatib mengupas isu hiburan semasa yang melampau yang disuapkan oleh media seperti pertandingan nyanyian yang berlambak-lambak di Malaysia dan betapa buruknya akibat jika hiburan melampau ini tidak dikawal, seperti bersekedudukan tanpa ikatan nikah yang sah, pembuangan bayi, dan baaaaanyak lagi masalah sosial lain. Saya melanjutkan khutbah tersebut dengan meluaskan skop hiburan itu kepada bukan sahaja hiburan dari media. ^^ cheewahh... cam orang belajar universiti plak~~~~

maafkan saya kerana tulisan saya kurang berkualiti. ini adalah hasil pengamatan saya semata-mata.. jika ada salah dan silap, silalah tegur saya cepat-cepat.. leh la saya perbetulkan.. takut jugak saya ni menyebarkan ilmu atau pendapat yang salah atau sesat pulak... huhuhuhu

Saya Yang Nakal~
Firdaus~~

p/s: tak tahan telinga mendengar lagu-lagu yang dipasang di AV Dept kat Jusco. staff dia pasang lagu yang kesat sangat.. ada lagu yang ajak berjima' laa, ada pulak lagu yang menghina kaum hawa la.. leh hancur telinga saya dengar~~ astaghfirullah~~ moga Allah membuka pintu hati mereka untuk menerima hidayah.. amin...

Friday, October 7, 2011

Perkara Sia-sia

Salam sejahtera semuanya. Saya doakan anda berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah kepada anda semua.

Tengah-tengah syok melayan blog-blog, saya terserempak dengan satu nama yang agak menarik: Sufyan Ats-Tsauri. So, apa lagi, google je la. Wikipedia pun ada kut... hahaha. Sufyan Ats-Tsauri ini adalah seorang 'Ulama' Hadith yang sangat disanjung tinggi atas kewibawaannya. Waqi' menyifatkan ''Sufyan adalah bagaikan lautan''. Selain pujian Waqi', ramai lagi ulama' besar dan para tabi'in yang memuji kewibawaan beliau. Sila lah google sendiri biografi beliau ye. Saya tak perlu nak copy-paste kat sini. Selamat ber'google'.

Saya amat tertarik dengan petikan mutiara kata beliau mengenai perkara sia-sia. Menurut Ats-Tsauri, ada 10 perkara yang sia-sia seperti berikut yang telah berjaya saya google dan copy lalu dengan beraninya paste kat sini;

1. Lelaki atau wanita yang berdoa untuk dirinya sendiri, tapi tidak dimohonkannya doa untuk ibu-bapanya sendiri dan kaum Muslimin.

2. Orang yang kerapkali membaca Al Quran, tapi tidak membaca secara tertib sampai seratus ayat tiap-tiap hari.

3. Lelaki yang masuk ke dalam masjid, kemudian ia keluar kembali dari masjid itu tanpa mengerjakan solat sunat tahiyatul-masjid.

4. Orang-orang yang melewati tanah perkuburan, tapi tidak mengucapkan salam kepada penghuni-penghuni kubur dan tidak mendoakan untuk keselamatan roh-roh mereka.

5. Lelaki yang masuk pada hari Jumaat ke suatu kota, kemudian ia keluar lagi dari kota itu tanpa mengerjakan solat Jumaat berjemaah.

6. Lelaki atau wanita yang tinggal di suatu berdekatan dengan seorang ulama, tapi dia tidak mempergunakan kesempatan itu untuk menambah ilmu pengetahuan.

7. Dua orang lelaki yang bersahabat, tapi mereka tidak saling bertanyakan tentang keadaan masing-masing dan keluarganya.

8. Lelaki yang mengundang seseorang menjadi tetamunya, tapi tidak diacuhkan dan tidak dilayani tetamunya itu.

9. Pemuda yang menjadikan zaman mudanya berlalu begitu saja tanpa memanfaatkan waktu yang berharga itu untuk menuntut ilmu dan meningkatkan budi pekerti.

10. Orang yang tidak menyedari tetangganya yang merintih lantaran kelaparan, sedang ia sendiri makan kekenyangan di dalam rumahnya.


Demikianlah kata-kata seorang ulama' hebat. Astaghfirullah. Ada juga berberapa perkara yang tersenarai di atas ini yang saya lakukan. Jadi, saya berazam untuk mengelakkan dari melakukan perkara-perkara yang disebut di atas ini.

Oh,
Saya bersolat Jumaat di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibung Kecil hari ni. Khutbah disampaikan oleh [rasanya kalau tak silap] Al-Fadhil Ustaz Ali Mukhtar. Jika betullah beliau khatib pada hari ini. Ustaz Ali Mukhtar pernah mengajar saya di sekolah dulu. Rasa seronok dapat melihat wajah beliau, walaupun hanya di kaca TV masjid tersebut. [Maju sungguh masjid tu. tahniah dan syabas saya ucapkan]

Isi kandungan khutbah pula mengenai hutang. heheh.. kebetulan, belanjawan negara 2012 dibentangkan hari ni jugak. Dan khutbah ni jugak sangat menusuk hati saya seorang yang ada berhutang. Semoga Allah memudahkan urusan saya untuk menjelaskan hutang-piutang saya. Ameen.


Maafkan saya kerana tulisan saya kurang berkualiti. Saya tidak pandai menyusun hujah dan isi. Namun, saya doakan agar apa yang saya tulis dapat difahami para pembaca. Sila lah kritik hasil tulisan ni. kalau ada isi-isi bernas yang nak ditambah, kecik tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

Saya Yang Nakal
Firdaus



Wednesday, October 5, 2011

kap baa raw kap alip taa nun

Salam sejahtera semuanya. ^^

Kita selalu mendengar frasa: Kerja itu ibadah. kita tahu apa maksudnya, dan kita faham apa isi kandungan dalam dan di sebalik frasa itu. Daripada kerja yang kita lakukan, kita mendapat upah seperti yang dijanjikan majikan. Daripada upah tersebut, kita boleh membeli segala keperluan dan kehendak kita setakat mana yang termampu. Daripada upah itu jugalah kita boleh mendapatkan makanan untuk kita mengisi jasad kita. makanan tersebut pulak ditukar menjadi tenaga supaya kita dapat meneruskan kelangsungan hidup, dan beribadah kepada Allah.

Makanan yang baik-baik akan menjamin kesihatan tubuh badan yang baik. Apabila tubuh badan kita sihat, maka ibadah wajib kita seharian juga terjaga. Orang yang sakit sukar untuk beribadah, seperti orang sakit gastrik, sukar untuk berpuasa, dan orang yang sakit-sakit fizikal seperti sakit kaki atau lutut, amat sukar untuk bersolat.

"Wahai orang yang beriman! Apabila dilaungkan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka bersegerahlah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli(pada saat itu). yang demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenar)."

Al-Jumu'ah: Ayat 9

Ayat dalam surah ini mengandungi arahan kepada umat Islam agar bersegera ke masjid untuk menunaikan Solat Fardhu Jumaat. Namun, disini, ingin saya tekankan kepada frasa "tinggalkan berjual beli" yang mana menunjukkan kepada kita bahawa kita perlu bekerja dan pekerjaan yang disebutkan di sini adalah berjual-beli a.k.a: berniaga, dan apabila tiba masa dan waktunya, haruslah kita meninggalkan pekerjaan itu untuk menunaikan ibadah solat. Ayat kemudian dalam surah yang sama juga menyuruh kita bertebaran di atas muka bumi ini mencari rezeki, seperti berikut;

"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."

Al-Jumu'ah: Ayat 10.

Maka dapat kita simpulkan, dengan menjaga pekerjaan kita, kita dapat menjaga ibadah wajib kita. Sebab itulah dikatakan bahawa kerja itu satu ibadah juga.

Ada juga yang pekerjaannya itu adalah untuk kebaikan masyarakat. Hasil dan produk pekerjaannya itu adalah untuk digunakan untuk kesenangan orang ramai. Kerja-kerja seperti Pegawai Kebersihan yang membersihkan kawasan perumahan kita dari sebarang kekotoran, itulah salah satu contoh pekerjaan untuk kebaikan masyarakat. Ini juga suatu ibadah yang amat baik. Menjaga kebersihan adalah menjaga Iman dan orang yang bekerja untuk memastikan sesuatu kawasan itu bersih adalah satu pekerjaan yang amat mulia.

“Sesungguhnya Allah suka melihat hambaNya berusaha berpenat lelah mencari rezeki yang halal”.(HR Ad-Dailami)

Jika sesebuah pekerjaan itu adalah pekerjaan yang halal, dan tidak terbabit dengan sebarang elemen yang haram, maka upah yang kita dapat dari mengerjakan pekerjaan tersebut juga adalah halal. Selain itu, jika kita tekun menjaga pekerjaan kita, bekerja dengan niat yang ikhlas, serta bekerja dengan jujur dan adil; upah yang kita peroleh dari pekerjaan itu bukan sahaja halal, bahkan rezeki itu juga berkat.

“Usaha yang paling baik ialah usaha orang yang bekerja dengan ikhlas.” (HR Ahmad)

“Sesungguhnya ALLAH suka apabila seseorang itu membuat sesuatu perkara ia melakukan dengan penuh ketekunan (memperbaiki dan mempertingkatkannya).” (HR al-Baihaqi)

“Sebaik-baik manusia ialah yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.” (al-Qudha’i)

Menjaga pekerjaan kita adalah amat penting. Oleh kerana kerja itu satu ibadah, maka menjaga pekerjaan itu juga menjaga ibadah. Orang yang tekun beribadah akan mendapat keredhaan. Diriwayatkan dari Al Miqdam ra. : Nabi Muhammad Saw pernah bersabda, “tidak ada makanan yang lebih baik bagi seseorang kecuali makanan yang ia peroleh dari wang hasil keringatnya sendiri. Nabi Allah, Daud as. , makan dari hasil kerjanya sendiri”.

Inilah teguran yang saya nak berikan kepada diri saya sendiri. Saya juga nak kongsi dengan rakan-rakan. Jika ada faedahnya, Alhamdulillah.

Bagaimanakah kita perlu menjaga pekerjaan kita, agar gaji yang kita peroleh itu halal dan berkat?

1. Amanah dalam bekerja. Tidak melakukan perkara-perkara yang merugikan majikan dan orang ramai, seperti jika bekerja sebagai peniaga, tidak mengurangi timbangan dan sebagainya. Jujur dalam mengendalikan perniagaan bagi pihak majikan, dan jujur kepada pelanggan.

2. Amanah dalam waktu bekerja, berkerja dalam tempoh waktu secukupnya seperti yang dipersetujui oleh majikan dan pekerja. Jika bekerja mengikut waktu, maka haruslah menepati waktu bekerja selagi mana mampu yakni tidak lewat masuk bekerja dan tidak pulang awal, serta sentiasa bersedia berada di tempat bekerja sepanjang masa bekerja (tolak waktu rehat, solat dan sebagainya).

3. Berinisiatif dalam memberikan hasil kerja terbaik. Selain tekun, kita perlu kreatif dalam bekerja untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga untuk memaksimumkan pendapatan.

4. Menjauhkan diri dari elemen-elemen rasuah. Integriti yang tinggi dalam bekerja menjamin produktiviti.

Saya dah melalut banyak. Kesimpulannya di sini, bagi menjaga amal ibadah kita, jagalah pekerjaan kita juga. Inilah teguran yang ingin saya buat untuk diri saya sendiri. Kepada yang membaca, saya mohon maaf kerana tulisan saya ini kurang berkualiti. Sesungguhnya saya kurang pandai menyusun isi kandungan. Namun, doa saya kepada Allah adalah agar pembaca faham maksud yang saya cuba sampaikan.

Jika ada apa-apa kesilapan, sila komen dan saya akan betulkan. Sebarang perkongsian ilmu amat dihargai, dan saya dahulukan dengan ucapan Jazakallah.

Saya Yang Amat Nakal

Firdaus