Wednesday, October 5, 2011

kap baa raw kap alip taa nun

Salam sejahtera semuanya. ^^

Kita selalu mendengar frasa: Kerja itu ibadah. kita tahu apa maksudnya, dan kita faham apa isi kandungan dalam dan di sebalik frasa itu. Daripada kerja yang kita lakukan, kita mendapat upah seperti yang dijanjikan majikan. Daripada upah tersebut, kita boleh membeli segala keperluan dan kehendak kita setakat mana yang termampu. Daripada upah itu jugalah kita boleh mendapatkan makanan untuk kita mengisi jasad kita. makanan tersebut pulak ditukar menjadi tenaga supaya kita dapat meneruskan kelangsungan hidup, dan beribadah kepada Allah.

Makanan yang baik-baik akan menjamin kesihatan tubuh badan yang baik. Apabila tubuh badan kita sihat, maka ibadah wajib kita seharian juga terjaga. Orang yang sakit sukar untuk beribadah, seperti orang sakit gastrik, sukar untuk berpuasa, dan orang yang sakit-sakit fizikal seperti sakit kaki atau lutut, amat sukar untuk bersolat.

"Wahai orang yang beriman! Apabila dilaungkan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka bersegerahlah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli(pada saat itu). yang demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenar)."

Al-Jumu'ah: Ayat 9

Ayat dalam surah ini mengandungi arahan kepada umat Islam agar bersegera ke masjid untuk menunaikan Solat Fardhu Jumaat. Namun, disini, ingin saya tekankan kepada frasa "tinggalkan berjual beli" yang mana menunjukkan kepada kita bahawa kita perlu bekerja dan pekerjaan yang disebutkan di sini adalah berjual-beli a.k.a: berniaga, dan apabila tiba masa dan waktunya, haruslah kita meninggalkan pekerjaan itu untuk menunaikan ibadah solat. Ayat kemudian dalam surah yang sama juga menyuruh kita bertebaran di atas muka bumi ini mencari rezeki, seperti berikut;

"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."

Al-Jumu'ah: Ayat 10.

Maka dapat kita simpulkan, dengan menjaga pekerjaan kita, kita dapat menjaga ibadah wajib kita. Sebab itulah dikatakan bahawa kerja itu satu ibadah juga.

Ada juga yang pekerjaannya itu adalah untuk kebaikan masyarakat. Hasil dan produk pekerjaannya itu adalah untuk digunakan untuk kesenangan orang ramai. Kerja-kerja seperti Pegawai Kebersihan yang membersihkan kawasan perumahan kita dari sebarang kekotoran, itulah salah satu contoh pekerjaan untuk kebaikan masyarakat. Ini juga suatu ibadah yang amat baik. Menjaga kebersihan adalah menjaga Iman dan orang yang bekerja untuk memastikan sesuatu kawasan itu bersih adalah satu pekerjaan yang amat mulia.

“Sesungguhnya Allah suka melihat hambaNya berusaha berpenat lelah mencari rezeki yang halal”.(HR Ad-Dailami)

Jika sesebuah pekerjaan itu adalah pekerjaan yang halal, dan tidak terbabit dengan sebarang elemen yang haram, maka upah yang kita dapat dari mengerjakan pekerjaan tersebut juga adalah halal. Selain itu, jika kita tekun menjaga pekerjaan kita, bekerja dengan niat yang ikhlas, serta bekerja dengan jujur dan adil; upah yang kita peroleh dari pekerjaan itu bukan sahaja halal, bahkan rezeki itu juga berkat.

“Usaha yang paling baik ialah usaha orang yang bekerja dengan ikhlas.” (HR Ahmad)

“Sesungguhnya ALLAH suka apabila seseorang itu membuat sesuatu perkara ia melakukan dengan penuh ketekunan (memperbaiki dan mempertingkatkannya).” (HR al-Baihaqi)

“Sebaik-baik manusia ialah yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.” (al-Qudha’i)

Menjaga pekerjaan kita adalah amat penting. Oleh kerana kerja itu satu ibadah, maka menjaga pekerjaan itu juga menjaga ibadah. Orang yang tekun beribadah akan mendapat keredhaan. Diriwayatkan dari Al Miqdam ra. : Nabi Muhammad Saw pernah bersabda, “tidak ada makanan yang lebih baik bagi seseorang kecuali makanan yang ia peroleh dari wang hasil keringatnya sendiri. Nabi Allah, Daud as. , makan dari hasil kerjanya sendiri”.

Inilah teguran yang saya nak berikan kepada diri saya sendiri. Saya juga nak kongsi dengan rakan-rakan. Jika ada faedahnya, Alhamdulillah.

Bagaimanakah kita perlu menjaga pekerjaan kita, agar gaji yang kita peroleh itu halal dan berkat?

1. Amanah dalam bekerja. Tidak melakukan perkara-perkara yang merugikan majikan dan orang ramai, seperti jika bekerja sebagai peniaga, tidak mengurangi timbangan dan sebagainya. Jujur dalam mengendalikan perniagaan bagi pihak majikan, dan jujur kepada pelanggan.

2. Amanah dalam waktu bekerja, berkerja dalam tempoh waktu secukupnya seperti yang dipersetujui oleh majikan dan pekerja. Jika bekerja mengikut waktu, maka haruslah menepati waktu bekerja selagi mana mampu yakni tidak lewat masuk bekerja dan tidak pulang awal, serta sentiasa bersedia berada di tempat bekerja sepanjang masa bekerja (tolak waktu rehat, solat dan sebagainya).

3. Berinisiatif dalam memberikan hasil kerja terbaik. Selain tekun, kita perlu kreatif dalam bekerja untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga untuk memaksimumkan pendapatan.

4. Menjauhkan diri dari elemen-elemen rasuah. Integriti yang tinggi dalam bekerja menjamin produktiviti.

Saya dah melalut banyak. Kesimpulannya di sini, bagi menjaga amal ibadah kita, jagalah pekerjaan kita juga. Inilah teguran yang ingin saya buat untuk diri saya sendiri. Kepada yang membaca, saya mohon maaf kerana tulisan saya ini kurang berkualiti. Sesungguhnya saya kurang pandai menyusun isi kandungan. Namun, doa saya kepada Allah adalah agar pembaca faham maksud yang saya cuba sampaikan.

Jika ada apa-apa kesilapan, sila komen dan saya akan betulkan. Sebarang perkongsian ilmu amat dihargai, dan saya dahulukan dengan ucapan Jazakallah.

Saya Yang Amat Nakal

Firdaus




No comments:

Post a Comment