Yeah people, it's Syawal again.
Syawal ni saya belajar banyak perkara. Tahun lepas, masa raya saya kena kerja. Raya Puasa pun kerja Raya Haji pun kerja. Sejujurnya, saya merasakan semua orang patut bercuti pada Hari Raya. Tidak ada seorang pun yang patut dipaksa bekerja pada Hari Raya. Mungkin bagi jenis pekerjaan yang melibatkan nyawa seperti doktor, pegawai polis, pegawai bomba dan sebagainya, mereka barangkali perlu berkorban demi keamanan dan keselamatan. Namun kalau setakat kilang kain, ataupun shopping complex tutup sehari masa hari raya, tak salah rasanya.
Dulu, ada sebuah pasaraya milik syarikat asing yang bertapak di Malaysia telah mengambil keputusan untuk menutup operasi pasaraya mereka pada hari raya untuk memberi peluang kepada pekerjanya untuk menghabiskan masa bersama keluarga pada hari raya. Pada masa itu, pengurusan pasaraya tersebut adalah diurus tadbir oleh pegawai yang datang dari negara asal pasaraya tersebut. Setelah sekian lama, semakin ramai rakyat tempatan yang berjaya naik pangkat menyertai pasukan pengurusan dan pentadbiran rangkaian pasaraya tersebut. Baru-baru ini juga kita dapat melihat, kerusi utama kumpulan pasaraya tersebut juga diduduki rakyat tempatan. Lebih membanggakan lagi, CEO baru syarikat tersebut seorang Muslim.
Namun, agak hairan setelah banyak jawatan-jawatan tinggi telah diambil alih orang tempatan (yang beragama Islam juga ramai), keadaan tidak berpihak kepada orang tempatan. Jika dahulunya, pasaraya tersebut ditutup pada hari raya, namun kini dibuka pula. Walaupun begitu, pasaraya ini dibuka lewat supaya pekerja yang bekerja pada hari tersebut sempat bersembahyang sunat aidilfitri. Keadaan ini masih lebih baik daripada pasaraya lain yang meneruskan perniagaan seperti biasa, malah waktu perniagaan ditambah lagi menjadi lebih panjang.
Waktu perayaan adalah waktu mengaut untung bagi pasaraya-pasaraya ini. Ironinya, bulan puasa adalah bulan yang mengajar manusia mengawal nafsu, supaya dapat kita berlatih mengawal pemakanan dan perbelanjaan. Malang sekali, Syawal yang sepatutnya diraikan dengan gembira tapi sederhana telah dijenamakan semula menjadi pesta makanan, pesta melaram pakaian, dan pesta menukar perabot dan kelengkapan.
Banyak majikan yang langsung tidak mengambil berat perihal amal ibadat para pekerjanya. Menurut fahaman sekular kapitalis mereka, professionalisma pekerjaan adalah untuk memperhambakan diri kepada segala kehendak majikan tanpa mengcampur-adukkan hal-hal lain seperti keluarga, amal ibadah dan agama. Saya belum pernah melihat sebuah pasaraya yang menutup operasi sementara waktu solat jumaat misalnya. Pekerja haruslah pandai-pandai mengatur sendiri masa jika mahu keluar bersolat jumaat. Bagi pekerja kilang pula, nasib mereka lebih baik. Majikan menyediakan ruang masa dan kenderaan bagi menghantar pekerja-pekerja lelaki muslim ke masjid untuk bersolat jumaat. Banyak juga kilang yang tidak beroperasi pada hari cuti perayaan.
Pada bulan puasa pula, di kebanyakan pasaraya-pasaraya seluruh negara, operasi diteruskan tanpa ada sebarang gangguan. Bagi mereka, pelanggan lebih penting berbanding keperluan pekerja untuk berehat sejenak dan berbuka puasa setelah seharian berlapar dahaga dan berpenat lelah bekerja.
Beginilah begitu dalamnya kuku kapitalis dan sekularis mencengkam negara kita. Agama diketepikan sama sekali, dan adalah tidak professional mencampurkan hal agama ke dalam pekerjaan. Agama tiada tempatnya di tempat kerja, hanya boleh diamalkan di rumah atau di masjid sahaja.
Saya impikan melihat sebuah pasaraya yang sejahtera dan menjaga semua hak-hak pekerjanya, serta menjaga waktu amal ibadah pekerjanya.
No comments:
Post a Comment